Taman Muhibbah Di Labuan Dinaik Taraf


JustForex

LABUAN: Taman Muhibbah berusia lebih dua dekad di pusat bandar ini bakal menjadi satu daripada kawasan rekreasi dan hiburan utama di Labuan dengan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan mesra pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata taman itu kini sedang dinaik taraf dan kerja-kerja pembaikan kemudahan di taman itu juga sedang dilaksanakan, di bawah projek pembangunan pengindahan perbadanan itu melibatkan kos sebanyak RM200,000.

“Apabila projek ini selesai dijangka pada Jun tahun ini, Taman Muhibbah akan berwajah baharu menjadi kawasan yang lebih selesa untuk menarik lebih ramai pengunjung (melakukan aktiviti rekreasi),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata taman itu yang sudah menjadi lokasi transit ratusan ‘burung acang’ atau merpati juga akan menjadi satu lagi tarikan pelancong dan perniagaan di sekitarnya akan mendapat manfaat daripada peningkatan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Kami komited untuk memulihkan semula dan memberi imej baharu kepada Taman Muhibbah, satu-satunya taman yang terletak di pusat bandar ini…skop perluasan projek ini akan melalui kajian jurutera dan kami yakin dapat meneruskan rancangan untuk taman ini.

“Taman Muhibbah adalah tumpuan kawasan kejiranan di sini dan masyarakat berhak mendapat ruang yang boleh diakses, inklusif dan diperbaharui yang dirasakan selamat,” katanya.

Beliau berkata projek itu juga akan menambah jubin baharu, membina gazebo, menanam pokok baharu dan tanaman, hiasan dan pencahayaan keselamatan di seluruh laluan taman.





Source link