Penunggang motor mati kena langgar, kejadian di Manggatal


Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan pada Sabtu lepas.

JustForex

Kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 8.20 malam di simpang Klinik Menggatal/Kokol Jalan Tuaran dekat sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Gelbrt Gomili, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 8.51 malam oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, pemandu kereta terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Tuaran menghala ke Kolombong.

Bagaimanapun katanya, semasa pemandu berada di lorong sebelah kanan menghala ke Kolombong, secara tiba-tiba mangsa keluar dari susur pusingan-U menyebabkan pemandu kereta berkenaan  tidak sempat mengelak.

“Akibatnya, motosikal mangsa dilanggar kereta terbabit dan mangsa tercampak ke hadapan jalan di lorong sebelah kanan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HQE untuk disaring ujian calitan (swab test) COVID-19 dan dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dan pemandu kereta tidak disyaki mabuk dan hasil siasatan lanjut mendapati punca kemalangan disebabkan oleh mangsa sendiri yang keluar simpang secara tiba-tiba hingga berlakunya kemalangan dan kematian.

Namun pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Utusan Borneo
 





Source link