MAIWP Agih RM2.4 Juta Untuk Pelbagai Skim Bantuan Di Labuan


JustForex

LABUAN: Sejumlah RM2.44 juta diagihkan untuk pelbagai skim bantuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sepanjang minggu kedua bulan Ramadan di pulau bebas cukai di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Marzuq Shaari berkata ia adalah bagi Bantuan Ihya’ Ramadan, Program Dapur It’am, Musaadah Tijariyah (untuk aktiviti perniagaan dan tambahan modal permulaan perniagaan), golongan mualaf (individu yang memeluk Islam) skim bantuan dapur bagi asnaf (individu yang layak menerima zakat) dan skim bantuan wakaf untuk Hospital Nuqleus Labuan.

“Sebanyak RM759,000 telah diagihkan semalam bagi Program Dapur It’am untuk menyediakan makanan dan minuman berbuka puasa kepada golongan asnaf, petugas barisan hadapan serta mereka yang memerlukan, RM1.23 juta bagi Program Musaadah Tijariyah, RM271,000 untuk surau dan masjid bagi aktiviti keagamaan manakala selebihnya untuk program lain,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Anak Yatim dan Asnaf di Kompleks Darul Kifayah di sini malam ini.

Beliau juga berkata projek pembinaan Masjid Sungai Bedaun yang bernilai RM8.6 juta hampir siap dan dijangka beroperasi pada Jun tahun ini.

“Saya telah melawat tapak projek itu hari ini dan mendapati ia kini sudah siap 80 peratus… Saya juga telah melawat projek baharu iaitu sebuah sekolah agama di Kampung Sungai Bedaun yang kosnya dianggarkan lebih RM70 juta serta beberapa masjid yang sedang dibaik pulih dan menelan belanja sebanyak RM2.3 juta,” katanya.

Ahmad Marzuq berkata kerja-kerja di semua masjid yang sedang dibaik pulih berjalan mengikut jadual meskipun berdepan penularan pandemik COVID-19.

“MAIWP Labuan sedang berusaha sedaya-upaya untuk menyediakan kemudahan yang kondusif bagi memudahkan komuniti Islam di Labuan beribadat,” katanya.

Terdahulu, beliau memberikan duit raya kepada 92 kanak-kanak golongan Asnaf sempena sambutan Aidilfitri yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat tahunan MAIWP.





Source link