Labuan IBFC Bekerjasama Dengan Lima Persatuan Bentuk Konsortium Blok Rantai


JustForex

LABUAN: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) serta lima badan blok rantai dari Asia Tenggara dan Australia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk Konsortium Blok Rantai ASEAN yang bertujuan memupuk serta mengukuhkan hubungan rentas sempadan dalam mempromosikan teknologi blok rantai.

Badan-badan tersebut adalah Asosiasi Blockchain Indonesia (ABI), Blockchain Association Singapore (BAS), Distributed Ledger Technology Association of the Philippines (DLTAP), Thailand Digital Asset Operators Trade Association (TDO) dan Blockchain Australia (BA). 

Labuan IBFC dalam satu kenyataan berkata MoU itu menandakan kerjasama pertama antara organisasi blok rantai di seluruh ASEAN dan Australia untuk memacu pendidikan blok rantai, berkongsi pengetahuan mengenai pembangunan aset digital termasuk menggalakkan penggunaan teknologi blok rantai di ASEAN dan Australia.

“MoU tersebut bertujuan meningkatkan lagi kerjasama antara enam organisasi bagi mendorong industri ini ke tahap yang lebih tinggi, melalui sumbangan mereka kepada pembangunan industri blok rantai dan aset digital,” katanya. 

Dianjurkan oleh BAS pada Rabu, majlis pemeteraian maya itu disaksikan oleh Penasihat Kanan kepada Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Edi Prio Pambudi dan Ketua Pegawai Fintech Pihak Berkuasa Monetari Singapura Sopnendu Mohanty.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Farah Jaafar-Crossby, Pengerusi Bersama BAS Chia Hock Lai, Pengerusi ABI Muhammad Deivito Dunggio, Pengerusi DLTAP Justo A Ortiz, Presiden TDO Peeradej Tanruangporn dan Ketua Pegawai Eksekutif BA Steve Vallas. 

Majlis pemeteraian digital itu turut dijayakan oleh Dedoco, platform penandatangan digital berasaskan blok rantai.

Labuan IBFC akan bekerjasama rapat untuk meningkatkan kesedaran dan penggunaan teknologi blok rantai serta bekerjasama dengan pengawal selia bagi memastikan pematuhan undang-undang ditetapkan dengan sewajarnya.





Source link