KES KANAK-KANAK H1N1 STABIL…JKNS telah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut.


YB Datuk Frankie Poon Ming Fung, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat

JustForex

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Seramai lapan (8) kes Influenza A (H1N1)
di kalangan kanak-kanak dilaporkan oleh Hospital Pakar KPJ Sabah, Kota Kinabalu
dari 15 hingga 28 Disembver 2019.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Poon
Ming Fung berkata, perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kes-kes berumur dalam lingkungan umur satu (1)
hingga 12 tahun.  Kesemua kes dilaporkan
stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Frankie berkata, JKNS merujuk kepada isu tular di media
sosial pada 28 Disember 2019 berkaitan penyakit Influenza A H1N1 di kalangan
kanak-kanak yang dinyatakan telah mendapat jangkitan di salah sebuah pusat
membeli belah di Kota Kinabalu dan dirawat di KPJ Sabah Specialist Hospital,
Kota Kinabalu.

Beliau berkata, berikutan itu JKNS telah mengambil
tindakan-tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut. 

Katanya, pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza
dan cara-cara mengelak jangkitan telah diberi kepada orang ramai. 

Frankie berkata Influenza merupakan jangkitan sistem
pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam
selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti kurang selera
makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. 

Katanya, demam selsema sangat mudah berjangkit kepada
orang lain melalui udara dengan titisan (droplet) cecair daripada mulut dan
hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

“Pada kebiasaannya, 
penyakit Influenza menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan tetapi
boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti
kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mengidap
penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan
lain-lain,” katanya. 

Beliau berkata, penyakit ini boleh dicegah dengan
pengambilan vaksin influenza (Annual flu shot) secara tahunan bagi bayi berumur
6 bulan dan ke atas sehingga dewasa. 

Katanya, pengambilan vaksin influenza adalah tidak
diwajibkan, tetapi ia dapat membantu mengurangkan komplikasi Influenza yang
teruk seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan saluran pernafasan
(bronchitis), ketimbulan penyakit asma (asthma flare up), jangkitan pada
telinga (ear infections), jangkitan pada jantung (heart infection) atau radang
otak (encephalitis). 

Oleh itu, katanya orang awam secara amnya dan golongan
berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian
vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di
seluruh negeri. 

Frankie berkata, bagi mencegah penularan jangkitan
influenza, orang ramai diminta sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah
seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Disamping amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan
air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

Mengamalkan adab batuk yang baik. Mengamalkan cara hidup
sihat.

Mereka yang mempunyai gejala jangkitan Influenza adalah
dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan
ramai.  Sekiranya perlu ke tempat awam,
mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face mask).

JKNS ingin menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala
yang sama seperti yang dinyatakan di atas, segera mendapatkan pemeriksaan dan
rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berhampiran
sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang
berterusan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *