Kartel Tender: Beberapa jabatan kerajaan ‘dalam radar’ SPRM, kata Azam


 Beberapa jabatan kerajaan yang dikenal pasti terbabit dengan sindiket kartel monopoli tender kini dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

JustForex

Beliau berkata, selain pemantauan pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berdasarkan maklumat diterima.

“Belum boleh umumkan (jabatan mana terbabit sindiket kartel tender), kita sedang memantau perkara ini,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Azam berkata, SPRM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk meneliti semua proses perolehan yang membabitkan kementerian dan agensi kerajaan supaya isu kartel dapat diatasi.

Terdahulu, FMT melaporkan satu sindiket kartel mengendalikan lebih 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan berjaya ditumpaskan SPRM susulan penahanan tujuh suspek, termasuk ketua sindiket terbabit.

Sindiket itu memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Ia menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat bawah naungannya, menggajikan individu sebagai pengarah syarikat untuk kegunaan nama dan keterangan mereka.

Pelbagai syarikat bawah kartel itu kemudian akan menawarkan kontrak berdasarkan maklumat yang diberikan oleh “orang dalam di kementerian” untuk memastikan syarikat bawah kawalan dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Dalam pada itu, Azam berkata sehingga kini tiada penahanan baru dibuat SPRM ketika ditanya adakah terdapat individu lain termasuk golongan kenamaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.





Source link