Dendam lama masih membara, lelaki cedera diserang di Membakut


Rokok dan dendam lama dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas cedera selepas diserang dalam kejadian di Kampung Lumantak, Membakut di sini, semalam.

JustForex

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 67 tahun cedera di muka selepas terkena parang yang dibawa suspek.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 25 tahun, pada awalnya dikatakan pergi ke rumah mangsa untuk membeli rokok.

Bagaimanapun katanya, mangsa didakwa tidak melayan suspek sehingga menyebabkannya berang sebelum kembali dengan membawa sebilah parang.

“Suspek kemudiannya bertindak memecahkan pintu rumah mangsa dengan menggunakan senjata parang.

“Namun parang yang digunakan suspek untuk memecahkan pintu dikatakan tiba-tiba tercabut dan terus terkena ke bahagian muka mangsa,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yussof Zaki berkata, suspek yang melihat mangsa cedera terus bertindak melarikan diri dari tempat kejadian.

Katanya, suspek berjaya ditahan kira-kira sejam selepas kejadian oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian sebenarnya disebabkan perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang dikatakan menjadi punca rumah ibu bapa suspek terbakar tahun lalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya. – Asia Times





Source link