COVID: Kluster Jalan Kemajuan Di Labuan Berpunca Dari Restoran


JustForex

LABUAN: Kluster COVID-19 Jalan Kemajuan yang terbaharu dilaporkan di sini semalam, berpunca daripada pelanggan tetap sebuah restoran yang dijangkiti virus itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata beberapa pekerja restoran termasuk pemiliknya disahkan positif virus itu dan premis tersebut diarah tutup buat sementara waktu untuk proses sanitasi.

Berdasarkan rekod pada aplikasi MySejahtera, sekurang-kurangnya 240 individu dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit yang telah mengunjungi restoran itu.

“Individu itu, yang merupakan pelanggan tetap restoran telah menjangkiti beberapa individu di sana termasuk pekerja dan pemilik restoran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata pegawai kesihatan telah menghubungi kontak rapat pesakit itu supaya menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Membedai.

“Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu positif virus ini berdasarkan siasatan awal,” tambahnya.

Sekurang-kurangnya sembilan individu disahkan positif daripada Kluster Jalan Kemajuan itu setakat semalam.

“Kemunculan kluster baharu ini jelas menunjukkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi dan kami berharap ini akan memberi mesej kepada pemilik premis lain mengenai pentingnya pematuhan sepenuhnya terhadap SOP,” katanya.

Labuan merekodkan 2,287 kes kumulatif dengan 13 kematian setakat ini.





Source link