Akta Polis beri KPN kuasa penuh perintah, kawal pasukan, kata Hanif


Bekas ketua polis negara (KPN) Hanif Omar berkata, Akta Polis memberi kuasa penuh kepada pegawai tertinggi polis itu untuk “memerintah dan mengawal” pasukan tersebut berbanding peranan yang dimainkan oleh sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh menteri dalam negeri.

JustForex

Hanif yang merupakan ketua polis negara yang paling lama berkhidmat berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) mahupun menteri dalam negeri tidak mempunyai kuasa sedemikian.

“Walaupun SPP mempunyai tujuannya seperti yang disebut oleh menteri undang-undang, namun ia tidak termasuk mengurus pasukan polis,” katanya kepada FMT dengan merujuk kepada Takiyuddin Hassan.

Semalam, Takiyuddin berkata, Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa SPP mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, disiplin, kebajikan dan lain-lain melibatkan anggota polis.

Suruhanjaya itu kini dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Takiyuddin dipercayai menyebut perkara itu sebagai respons terhadap kritikan ketua polis negara yang bakal bersara Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan campur tangan Hamzah dalam urusan polis.

Hamid juga berkata, Hamzah “mahukan kuasa” untuk menentukan di mana pegawai polis ditempatkan.

Pendedahan beliau dibuat beberapa jam selepas Hamzah mengesahkan dirinya merupakan individu dalam rakaman audio tular yang bercakap tentang rombakan pasukan polis.

Hanif berkata, sepanjang 20 tahun menjadi KPN, beliau tidak berdepan masalah dengan tiga menteri dalam negeri atau SPP.

Katanya, tiada dalam kalangan menteri terbabit cuba campur tangan dalam pengendalian pasukan polis dan SPP serta pengerusinya berperanan mengikut fungsi yang ditetapkan dalam perlembagaan.

“Justeru SPP, seperti yang wujud sekarang boleh berperanan sekiranya semua pihak bekerja dalam batas undang-undang masing-masing.”

Walaupun bersetuju dengan kenyataan Takiyuddin bahawa pegawai awam harus menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, namun Hanif berkata, keadaan yang dihadapi Hamid berbeza.

Takiyuddin dilaporkan berkata, pegawai awam harus mendedahkan isu “di tempat yang sesuai” seperti mesyuarat di peringkat menteri, tetapi tidak melakukannya kepada media, yang seolah-olah menunjukkan mereka “membelakangkan atau mencela kerajaan”.

Hamid berkata, beliau telah memaklumkan isu campur tangan Hamzah kepada perdana menteri dan ketua setiausaha negara.





Source link