Aik, mana sudah dana KWAN RM5 bilion, kata DAP kepada PM


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjelaskan bagaimana RM5 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk program vaksin Covid-19 digunakan memandangkan kadar vaksinasi kekal sangat rendah.

JustForex

Beliau dalam kenyataan berkata, kadar vaksinasi negara hanya 2.3% (untuk mereka yang menerima dua dos penuh), lebih teruk daripada Indonesia yang mencatatkan kadar vaksinasi 4.2% untuk jumlah penduduk lebih ramai.

“Bagaimana RM5 bilion ini dibelanjakan? Malaysia adalah negara Asia Pasifik terburuk dari segi jangkitan Covid-19 per kapita dan kini kadar jangkitan harian kita melebihi Indonesia.

“Tidak hairanlah Indonesia menggunakan Malaysia sebagai contoh yang menyedihkan untuk memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak mengikut Malaysia dalam kegagalan pematuhan SOP Covid-19,” katanya merujuk saranan Kementerian Kesihatan Indonesia baru-baru ini kepada rakyatnya untuk belajar daripada pengalaman Malaysia yang kembali mengalami lonjakan kes.

Lim berkata, wujud perasaan “kesuraman dan kekecewaan” yang semakin meningkat dengan lonjakan jangkitan Covid-19 dan jumlah kematian semakin tinggi sehingga perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

“Berapa banyak lagi PKP yang perlu dilalui rakyat Malaysia, ketika kerajaan Perikatan Nasional dengan keras kepala menolak untuk mengakui kegagalan mereka dalam menguruskan krisis Covid-19 dan menghentikan dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP Covid-19, ketidakcekapan yang jelas dan juga amalan dua darjat dalam penguatkuasaan pematuhan PKP?”

Beliau berkata, ramai rakyat tidak merasakan manfaat ekonomi daripada RM622 bilion yang diperuntukkan untuk memulihkan ekonomi sejak penularan pandemik pada Mac tahun lalu.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa peruntukan sebesar itu nampaknya tidak menguntungkan rakyat, menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, terutama di sektor runcit, borong, pembinaan, pelancongan serta perhotelan.

“Itulah sebabnya Parlimen perlu bersidang agar kerajaan tidak dapat berselindung berkenaan perbelanjaannya bagi memastikan setiap sen digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat Malaysia mengatasi krisis negara ini,” katanya





Source link