Abai SOP: Jangkitan COVID-19 Di Labuan Kembali Dua Digit


JustForex

LABUAN: Jangkitan COVID-19 di Labuan kembali ke dua digit selepas 27 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, terutamanya kerana mengabaikan amalan normal baharu dan enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa pandemik COVID-19 masih belum berakhir, sehingga terdapat vaksin atau rawatan yang berkesan,  semua orang tetap berisiko.

“Kita telah menempuh sekatan kawalan pergerakan yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beransur-ansur memasuki fasa yang lebih longgar di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).  

 “Jika orang ramai masih dengan sikap acuh tak acuh, tidak mahu mengamalkan normal baharu, Labuan bakal dikenakan sekatan pergerakan yang lebih ketat,” katanya kepada Bernama hari ini.

 Labuan mencatatkan 29 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif 1,570 dengan lebih 50 kes aktif.

Kluster baharu Hujung Pasir dikesan pada 13 Dis dengan 52 kes direkodkan setakat ini melibatkan vendor pasar kering dan pengunjung Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Sentral.

“Kita semua perlu bekerjasama untuk melindungi diri kita dan orang lain dan kami optimistik, Labuan akan kembali ke zon hijau COVID-19 sekiranya semua orang mengamalkan normal baharu dan mematuhi SOP. Kita juga sekali lagi akan mencatatkan kes sifar beberapa hari akan datang,” katanya.

Labuan mencatatkan penurunan ketara kes pada 1 dan 2 Dis dan meningkat kepada sembilan keesokan harinya, menurun kepada tiga pada 4 Dis dan meningkat semula kepada 10 dan 21 kes masing-masing pada 5 dan 6 Dis sebelum kembali kepada sifar kes pada 8 Dis.

Dr Ismuni berkata kluster baharu melibatkan sebuah kedai makan J Bandar  telah dikesan dan telah diumumkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku lonjakan kes yang ketara selepas Krismas dan musim cuti susulan penduduk tempatan yang kembali ke Sabah untuk meraikan perayaan di tanah besar.

Labuan, pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia dikaitkan dengan kluster aktif Hujung Pasir, Saguking, Titian dan Sky Coklat.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan Labuan antara tiga tempat yang mempunyai kawalan penularan COVID-19 selepas Sarawak dan Kedah.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *